SAN FRANCISCO, 4 April- Sekurang-kurangnya enam terbunuh dan sembilan lagi cedera dalam satu kejadian tembakan di ibu negara California, Sacramento, awal pagi tadi.
Polis Sacremento, menerusi kenyataan dalam Twitter, berkata anggotanya menemui sekurang-kurangnya 15 mangsa tembakan termasuk enam yang sudah meninggal dunia.
Terdahulu , sekitar pukul 4.00 pagi waktu tempatan, polis mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya menjauhi lokasi berlaku tembakan yang masih lagi berbahaya dan di penuhi anggota polis.
Satu video memaparkan sekumpulan orang bergelut di jalanan mula berlari selepas kedengaran bunyi tembakan di kawasan pinggir bandar yang menempatkan banyak bar dan restoran.
Ini adalah kejadian tembakan terbaharu di Amerika Syarikat yang merekodkan kematian akibat senjata api mencecah 40 ribu kes setahun termasuk kes bunuh diri. -AFP