fb fb fb fb fb

Empat maut tragedi bot migran tenggelam di Greece

Foto Reuters

ATHENS, 28 November - Empat orang maut apabila sebuah bot yang membawa migran tenggelam di Laut Aegea pada Khamis, menurut kenyataan penjaga pantai Greece.

Kejadian ini menambah kepada tragedi lemas yang melibatkan pencari suaka.

Mayat mangsa dijumpai berhampiran pulau Samos, lokasi yang turut menjadi tempat kejadian serupa pada Isnin lalu.

Dalam insiden tersebut, seramai 16 individu berjaya diselamatkan dan usaha mencari mangsa yang masih hilang sedang diteruskan.

Pada Isnin lalu, dua kejadian berasingan berhampiran Samos dan Lesbos mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan pencari suaka, termasuk enam kanak-kanak dan dua wanita.

Greece telah menyaksikan peningkatan 25 peratus tahun ini dalam bilangan orang yang melarikan diri dari peperangan dan kemiskinan, dengan 30 peratus daripadanya menuju ke Rhodes dan timur Laut Aegea, menurut kementerian migrasi.

Beberapa insiden serupa turut berlaku dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk kejadian awal November yang meragut empat nyawa berhampiran pulau Rhodes.

Pada akhir Oktober, dua orang maut berhampiran pulau Samos, sementara empat lagi, termasuk dua bayi, hilang di sekitar pulau Kos beberapa hari sebelumnya.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN