KIEV, 24 Oktober - Seorang lelaki meletupkan bom di sebuah stesen kereta api di utara Ukraine pada Jumaat, menyebabkan tiga orang maut. Insiden tersebut turut mengorbankan lelaki terbabit, menurut pihak berkuasa.
Menurut kenyataan Perkhidmatan Pengawal Sempadan Ukraine, letupan itu berlaku ketika pemeriksaan dokumen dijalankan di platform berhampiran sebuah tren di Stesen Kereta Api Ovruch.
“Letupan itu dilakukan oleh seorang lelaki ketika pemeriksaan dokumen di kawasan sempadan terkawal di Stesen Ovruch,” menurut kenyataan yang dimuat naik di media sosial agensi itu.
Tiga mangsa yang terbunuh terdiri daripada seorang pegawai pengawal sempadan dan dua orang awam wanita, manakala lelaki berusia 23 tahun yang meletupkan bahan tersebut meninggal dunia ketika menerima rawatan dalam ambulans.
Media tempatan melaporkan suspek dipercayai meletupkan sebutir bom tangan.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Ukraine memberitahu AFP bahawa pihaknya belum dapat mengesahkan jenis bahan letupan tersebut.
Gambar yang dimuat naik di Telegram oleh agensi pengawal sempadan menunjukkan pasukan penyelamat membantu mangsa di lokasi kejadian.
Agensi itu turut memaklumkan suspek lelaki itu pernah ditahan baru-baru ini kerana cuba melintasi sempadan negara secara haram di kawasan barat Ukraine.-AFP