BEIJING, 26 Julai - Beberapa institusi kewangan dan pelaburan antarabangsa telah menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi China bagi tahun 2025, susulan data suku kedua yang menunjukkan prestasi memberangsangkan serta sokongan dasar fiskal yang berterusan.
Antara institusi tersebut ialah Morgan Stanley, yang menaikkan ramalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China sebanyak 0.3 mata peratusan bagi 2025, serta 0.2 mata peratusan tambahan masing-masing untuk 2026 dan 2027. UOB dan Nomura turut membuat pelarasan ke atas unjuran mereka, manakala Goldman Sachs mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 0.6 mata peratusan.
Pakar ekonomi antarabangsa menyifatkan ekonomi China sebagai tahan lasak dan cekap menyesuaikan diri, didorong oleh kekuatan pasaran domestik, sistem perindustrian yang fleksibel, serta kemajuan teknologi dan semangat keusahawanan.
“Ketahanan ini berpunca daripada struktur industri yang kukuh, infrastruktur moden, inovasi teknologi serta pelaksanaan dasar sokongan fiskal secara berterusan,” kata Zhang Ning, pakar ekonomi kanan UBS.
Sementara itu, Tang Jicheng, pakar ekonomi kanan Allianz Investments Asia Pacific, menyifatkan ekonomi China sebagai lincah dan tangkas dalam menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran, sekali gus mengekalkan pertumbuhan yang stabil.
Peningkatan unjuran turut dipacu oleh pertumbuhan dalam sektor teknologi, penggunaan domestik dan pembuatan pintar, seperti yang ditunjukkan melalui aktiviti industri di bandar utama seperti Beijing, Shanghai dan Guangzhou.