fb fb fb fb fb

Dua warga China maut dalam letupan kuat di Pakistan

Letupan yang berlaku berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah di Karachi malam tadi/AFP

KARACHI, 7 Oktober- Satu letupan kuat di jalan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah di sini telah membunuh dua warga China, menurut Kedutaan Beijing hari ini, selepas sebuah kumpulan pemisah mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Letupan di bandar terbesar di Pakisan itu kedengaran sekitar pukul 11.00 malam tadi waktu tempatan.

Kerajaan wilayah selatan Sindh menerusi laman sosial X mengesahkan bahawa sebuah "tangki" telah meletup di lebuh raya berhampiran lapangan terbang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan pula memaklumkan penerbangan dari Karachi terus beroperasi seperti biasa dan agensi berkaitan sedang menyiasat punca letupan.

Terdahulu, kumpulan pemisah Tentera Pembebasan Baloch (BLA) dalam kenyataan menyatakan mereka telah menyasarkan konvoi tinggi pegawai jurutera dan pelabur China.

Serangan turut mencederakan seorang warga China dan beberapa warga Pakistan.

Kedutaan Beijing di Pakistan juga menggesa pihak berkuasa untuk melakukan penyiasatan menyeluruh terhadap serangan tersebut dan menghukum penjenayah dengan tegas serta mengambil langkah praktikal untuk memastikan keselamatan penuh warganegara, institusi dan projek China.

"Dua warga China telah terbunuh dalam serangan pengganas terhadap konvoi kakitangan dari projek kuasa Port Qasim yang dibiayai oleh China," menurut kedutaan tersebut.

BLA adalah kumpulan pemisah yang memperjuangkan autonomi bagi wilayah Balochistan di Pakistan, wilayah terbesar tetapi paling miskin di negara tersebut.

Kumpulan itu telah secara konsisten menyasarkan warga China dan mendakwa penduduk etnik Baloch tempatan tidak menerima bahagian kekayaan yang adil daripada pelaburan asing. -AFP

SITI AISHAH MD ISA