FLORIDA, 18 April – Dua orang terbunuh dalam satu insiden tembakan yang dipercayai dilakukan oleh anak seorang timbalan sheriff tempatan di Universiti Negeri Florida, kata pihak polis.
Lima mangsa cedera dan dimasukkan ke hospital selepas suspek, Phoenix Ikner, 20 tahun, melepaskan tembakan ke arah pelajar-pelajar di kampus tersebut sebelum dia ditembak oleh pihak berkuasa tempatan.
Ketua Polis Universiti Negeri Florida, Jason Trumbower, mengesahkan dua mangsa meninggal dunia manakala lima lagi dikejarkan ke hospital dengan kecederaan akibat tembakan.
Suspek, yang juga seorang pelajar di universiti itu, dikenalpasti sebagai Phoenix Ikner, anak lelaki kepada seorang timbalan sheriff di Leon County.
Sheriff Walt McNeil menjelaskan, ibu Ikner telah berkhidmat dengan Pejabat Sheriff Leon County selama lebih 18 tahun dan turut mendapat pujian atas sumbangan luar biasa beliau kepada komuniti.
“Malangnya, anaknya mempunyai akses kepada salah satu senjatanya, yang ditemui di tempat kejadian,” jelas McNeil.
Menurut McNeil, suspek juga merupakan ahli lama dalam Majlis Penasihat Warga dan Majlis Penasihat Belia Pejabat Sheriff Leon County, yang memberi akses kepada pelbagai program latihan senjata.
Pihak berkuasa sedang menyiasat insiden tersebut dengan lebih lanjut.-AFP