fb fb fb fb fb

Dua mayat bayi ditemui di tapak pelupusan sampah

Gambar hiasan

ABIDJAN, 11 November - Polis membuka kertas siasatan selepas menemui dua bayi masih bertali pusat dan tidak bernyawa di tapak pelupusan sampah, di Akouedo, timur Abidjan semalam.

Ketua Polis Abidjan, Kollo Roger Yeo berkata, mayat dua bayi tersebut ditemui bersama-sama dengan peralatan perubatan dan fibroid yang mungkin telah dibuang oleh klinik atau hospital.

Timbalan Pengarah Keselamatan Awam, Siaka Dosso, turut mengesahkan kewujudan sisa buangan manusia, termasuk fibroid dan tali pusat bayi di lokasi tersebut.

Menurutnya, pihak polis telah melakukan siasatan lanjut.

"Kadang-kadang, ibu mengandung meninggalkan bayi yang baru lahir dan kami menemuinya, dalam keadaan sama ada hidup atau mati," kata Dosso.

Pada tahun 2022, kerajaan Ivory Coast mengumumkan bahawa mereka akan menutup klinik-klinik swasta yang beroperasi secara haram.

Menurut Dosso, lebih 80 peratus klinik swasta di negara itu tidak mengikuti piawaian atau standard kesihatan yang ditetapkan.

Di negara Afrika Barat itu, pengguguran hanya dibenarkan jika berlaku kes rogol, sumbang mahram, atau jika nyawa serta kesihatan mental atau fizikal ibu dalam bahaya. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN