DOHA, 14 Disember - Qatar akan menghantar delegasi rasmi pertamanya ke Damsyik pada Ahad untuk bertemu dengan kerajaan sementara Syria dan membincangkan pembukaan semula kedutaan Qatar serta meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan.
Menurut seorang pegawai Qatar, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki hubungan dan menyokong bantuan kemanusiaan di Syria.
"Mereka akan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk membuka semula kedutaan dan membincangkan peningkatan penghantaran bantuan," kata pegawai itu.
Laporan sebelum ini yang dikeluarkan oleh Kementerian Maklumat Syria mengenai lawatan ketua perisikan Qatar pada Khamis disangkal sebagai tidak benar oleh pegawai Qatar tersebut.
Lawatan delegasi Qatar ini juga berlaku kurang seminggu selepas diplomat negara itu berbincang dengan kumpulan penentang kerajaan utama Syria, Hayat Tahrir al-Sham.
Langkah tersebut mencerminkan usaha negara-negara serantau untuk membuka hubungan dengan kumpulan itu dan kerajaan sementara yang mereka tubuhkan selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad.
Dalam perkembangan lain, Ketua Perisikan Turki, Ibrahim Kalin, turut berada di Damsyik pada Khamis untuk rundingan bersama kepimpinan baharu Syria.
Namun, laporan bahawa Ketua Keselamatan Negara Qatar, Khalfan al-Kaabi, berada di Damsyik pada hari yang sama disangkal oleh Qatar.
Kedutaan Qatar di Damsyik telah ditutup sejak Julai 2011, selepas negara itu menarik balik dutanya susulan tindakan keras rejim Assad terhadap penunjuk perasaan yang mencetuskan perang saudara selama 13 tahun.
Walaupun begitu, Doha tetap konsisten menolak usaha beberapa negara Arab untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan rejim Assad, menunjukkan pendiriannya yang tegas terhadap isu tersebut.-REUTERS