fb fb fb fb fb

Delegasi AS ke Geneva bincang pelan tamatkan perang Ukraine

Marco Rubio/AFP

GENEVA, 23 November – Utusan tertinggi Amerika Syarikat (AS) termasuk Setiausaha Negara, Marco Rubio dan utusan diplomatik, Steve Witkoff dijangka tiba di Geneva pada Ahad bagi membincangkan pelan Presiden Donald Trump untuk menamatkan perang di Ukraine.

Setiausaha Tentera AS, Daniel Driscoll yang bertemu Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky di Kiev pada Khamis, telah tiba lebih awal di Switzerland pada Sabtu.

Menurut seorang pegawai AS, delegasi berkenaan akan mengadakan pra-mesyuarat tidak rasmi bersama wakil Ukraine pada malam Ahad.

Pegawai Eropah turut dijangka menyertai rundingan itu, namun format perbincangan belum didedahkan.

Pelan 28 perkara yang dicadangkan Trump itu antaranya merangkumi penyerahan wilayah Ukraine kepada Rusia, pengurangan saiz tentera Ukraine serta penghentian hasrat menyertai NATO. Sebagai balasan, Kiev akan menerima jaminan keselamatan Barat.

Zelensky menolak cadangan tersebut dan berhasrat mengemukakan alternatif, manakala Trump menetapkan tarikh akhir 27 November untuk maklum balas rasmi Ukraine.

Presiden Rusia, Vladimir Putin menyatakan kesediaan membincangkan butiran pelan itu namun menegaskan Rusia akan meneruskan serangan ketenteraan jika Ukraine menolaknya.

Pada Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg, pemimpin Eropah, Kanada dan Jepun menilai pelan AS tersebut masih memerlukan penambahbaikan dan berisiko menjadikan Ukraine terdedah kepada ancaman baharu. -AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN