fb fb fb fb fb

Datuk Bandar Portovelo mati ditembak sebelum referendum antijenayah - polis

Askar yang mengawal pintu masuk hospital selepas Datuk Bandar Portovelo, Jorge Maldonado ditembak mati di Portovelo, Ecuador/AFP

QUITO, 20 April- Datuk Bandar sebuah bandar perlombongan di Ecuador mati ditembak pada Jumaat. Pembunuhan kedua seumpama itu dalam beberapa hari sebelum referendum hujung minggu, kata polis.

Datuk Bandar Portovelo, Jorge Maldonado "menjadi mangsa tembakan yang mengakibatkan kematiannya," kata polis di X.

Beliau ditembak mati oleh dua penyerang yang menaiki motosikal.

Imej yang dilihat oleh AFP menunjukkan beliau yang cedera parah terbaring di kaki lima dengan berlumuran darah di sekeliling kepalanya.

Presiden Ecuador Daniel Noboa memutuskan keadaan darurat untuk mengelakkan "serangan pengganas" terhadap bekalan elektrik di seluruh negara pada Jumaat.

Noboa telah mengecam bahawa "sabotaj" menyebabkan bekalan elektrik terputus, tanpa mengenal pasti siapa yang dia percaya bertanggungjawab.

Maldonado adalah Datuk Bandar Ecuador ke-5 yang dibunuh dalam setahun, dan yang ke-3 dalam masa kurang daripada sebulan.

Dua hari sebelum pembunuhannya, Datuk Bandar Camilo Ponce Enriquez di wilayah selatan Azuay, Jose Sanchez, ditembak mati.

Dan bulan lalu, Brigitte Garcia, Datuk Bandar pantai San Vicente, 27 tahun, ditemukan mati di dalam kereta bersama-sama pengarah komunikasi perbandaran itu, Jairo Loor. Kedua-duanya mengalami luka tembakan.

Persatuan majlis perbandaran AME berkata dalam satu kenyataan, pembunuhan itu "menunjukkan krisis keselamatan yang serius" dan menuntut "tindakan segera dan tegas" untuk menjamin keselamatan lebih 200 datuk bandar lain di negara itu.

Berjuta-juta rakyat Ecuador akan mengundi dalam pungutan suara pada Ahad untuk memutuskan tindakan yang lebih tegas terhadap jenayah terancang di negara itu.

Negara Amerika Selatan pernah menjadi benteng keamanan yang terletak antara pengeluar kokain utama sebelum terjerumus ke dalam krisis selepas bertahun-tahun pengembangan oleh kartel transnasional yang menggunakan pelabuhannya untuk menghantar dadah ke Amerika Syarikat dan Eropah.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI