MEXICO CITY, 7 Oktober- Datuk Bandar di negeri Guerrero dekat selatan Mexico telah dibunuh, menurut pihak berkuasa semalam, menjadikannya sebagai mangsa terbaru dalam siri serangan terhadap politikus di negara yang dilanda keganasan itu.
Alejandro Arcos, 43, daripada Parti Revolusi Institusi (PRI) dibunuh kurang dari seminggu selepas dilantik sebagai Datuk Bandar Chilpancingo.
"Kehilangan Arcos meninggalkan seluruh masyarakat Guerrero dalam berkabung dan menimbulkan kemarahan," kata Gabenor Guerrero, Evelyn Salgado menerusi media sosial X, sambil menambah bahawa kematiannya telah disahkan oleh pejabat pendakwa raya.
Salgado tidak memberikan butiran lanjut mengenai keadaan kejadian tersebut.
PRI turut mengutuk "jenayah yang penakut" itu dan menyeru keadilan. "Cukup dengan keganasan dan impunitas (ketidakadilan)! Rakyat Guerrero tidak layak hidup dalam ketakutan," menurutnya di X.
Guerrero merupakan salah satu negeri di Mexico yang paling terjejas oleh keganasan kartel dadah disebabkan lokasinya di sepanjang pantai Pasifik.
Sejak pemerintah mengerahkan tentera untuk memerangi penyeludupan dadah pada tahun 2006, lebih 450,000 orang telah dibunuh dan puluhan ribu orang hilang di seluruh Mexico.
Politikus terutamanya di peringkat tempatan sering menjadi mangsa keganasan berkaitan rasuah dan perdagangan dadah bernilai berbilion dolar. -AFP