fb fb fb fb fb

China setuju tarik balik larangan import daging lembu Sepanyol

Wang Yi dalam sidang media di Sepanyol bersama-sama rakan sejawatannya dari Sepanyol Jose Manuel Albares/AFP

SPAIN, 19 Februari- China telah bersetuju untuk menarik balik larangan import daging lembu Sepanyol, kata Menteri Luar kedua-dua negara selepas mengadakan rundingan pada Ahad.

Beijing sejak tahun 2000 telah mengenakan larangan ke atas Kesatuan Eropah (EU) daripada mengeksport produk daging lembu berikutan kemunculan beberapa kes penyakit "lembu gila", dalam beberapa anggota blok itu.

"Ia adalah berita baik, terutamanya untuk petani Sepanyol," kata Menteri Luar China Wang Yi dalam sidang akhbar bersama-sama dengan rakan sejawatannya dari Sepanyol Jose Manuel Albares di Cordoba.

Pengumuman itu dibuat ketika petani di Sepanyol sejak dua minggu lalu mengambil bahagian dalam bantahan seluruh EU berhubung peraturan berat, kos tinggi dan import lebih murah yang dikatakan menyebabkan mereka bergelut untuk memenuhi keperluan hidup.

"Apabila mengambil kira saiz pasaran China, impaknya akan menjadi luar biasa positif," kata Albares.

"Ini adalah langkah yang telah lama kita minta dan memberi manfaat kepada seluruh kawasan luar bandar. Sukar untuk mencari pasaran seperti pasaran China."

Diplomat Tertinggi China dalam lawatan kerja ke Sepanyol selepas mengambil bahagian dalam persidangan keselamatan utama di Munich, Jerman pada Sabtu.

Bagaimanapun Wang juga mengulangi pendirian China mengenai konflik Israel-Hamas selain menggesa gencatan senjata segera dan pembukaan sempadan untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Albares berkata beliau dan Wang "bersetuju untuk menyokong penyelesaian kedua-dua negara; Palestin dan Israel" untuk menamatkan konflik.

"Saya telah menyatakan kebimbangan serius mengenai situasi kritikal di Rafah, keperluan untuk mencapai gencatan senjata segera, untuk terus menyokong UNRWA lebih daripada sebelumnya," tambah menteri Sepanyol itu dalam rujukan kepada agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Jepun telah menggantung pembiayaan kepada UNRWA.

Wang dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez pada Isnin sebelum ke Perancis. Ini merupakan lawatan pertamanya ke Sepanyol dalam tempoh enam tahun.

"China melihat Sepanyol sebagai rakan kongsi yang baik dan boleh dipercayai dalam Kesatuan Eropah. Kami bersedia bekerjasama dengan Sepanyol untuk membangunkan hubungan dua hala," kata menteri China itu.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI