fb fb fb fb fb

China, Rusia lakukan rondaan udara bersama di Laut Jepun

Foto Reuters

BEIJING, 29 November – Tentera China dan Rusia melaksanakan rondaan udara strategik bersama yang kesembilan di "ruang udara berkaitan" di Laut Jepun pada Jumaat, menurut penyiar negara China, CCTV.

Rondaan tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama tahunan kedua-dua negara sejak 2019.

CCTV melaporkan rondaan tersebut bertujuan untuk menguji dan meningkatkan keupayaan latihan serta operasi tentera udara kedua-dua negara.

Tentera Korea Selatan bertindak melancarkan jet pejuang setelah 11 pesawat tentera China dan Rusia memasuki zon pengenalan pertahanan udara (ADIZ) negara itu.

Pesawat tersebut kekal di kawasan itu selama empat jam sebelum meninggalkan ruang tersebut tanpa sebarang insiden.

Kerajaan Korea Selatan membantah tindakan tersebut kerana rondaan dilakukan tanpa pemberitahuan awal kepada pihak mereka.

ADIZ, walaupun digunakan untuk tujuan keselamatan, tidak merujuk kepada ruang udara wilayah berdaulat dan sering bertindih dengan ADIZ negara lain.

Pada Julai lalu, China dan Rusia menjalankan rondaan udara bersama menggunakan pengebom strategik berkemampuan nuklear berhampiran Alaska, Amerika Syarikat, di Pasifik Utara dan Artik.

Insiden itu menyebabkan Amerika Syarikat dan Kanada mengerahkan jet pejuang mereka untuk memberi respons.

Rondaan bersama ini terus mencerminkan peningkatan kerjasama ketenteraan antara China dan Rusia di tengah ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di rantau tersebut.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN