BEIJING 23 Mei- China berharap kerjasama pragmatik dengan negara-negara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) terus diperkukuh dan diperluas dalam pelbagai bidang bagi mewujudkan situasi menang-menang.
Jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning memaklumkan, Perdana Menteri China Li Qiang dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Mei atas jemputan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mao berkata China menyokong penganjuran sidang kemuncak itu oleh Malaysia sempena peranannya selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
Negara-negara ASEAN dan GCC merupakan entiti ekonomi baharu muncul di Asia serta anggota penting Selatan Global, selain menjadi rakan kongsi utama dalam usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Beliau berkata, adalah penting bagi ketiga-tiga pihak berkumpul untuk membincangkan pendekatan bagi memperkukuh solidariti dan kolaborasi demi pembangunan dan kemakmuran, di samping memperkasa kerjasama rentas rantau yang saling menguntungkan.
China berharap dapat memperkukuh sinergi dengan pihak terbabit dalam menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala dan melindungi kepentingan bersama Selatan Global. - BERNAMA