fb fb fb fb fb

China dilanda cuaca panas 'melampau', terburuk dalam sejarah

Foto Reuters

BEIJING, 5 Ogos- Suhu panas melampau terus melanda majoriti wilayah di China terutamanya di timur negara itu, dijangka akan berlarutan di wilayah Jiangsu dan Zhejiang serta di hab kewangan, Shanghai.

"Di timur dan barat laut China, suhu setinggi 43.9° darjah Celsius (111.02 Fahrenheit) telah 'membakar' Zhejiang, Jiangsu, Shanghai, Anhui, Xinjiang sejak beberapa hari kebelakangan ini," kata penyiar negeri CCTV.

Pentadbiran Meteorologi China berkata beberapa kawasan di Lembangan Turpan Xinjiang, selatan Anhui dan Zhejiang tengah dan barat, suhu boleh meningkat melebihi 40° darjah Celcius.

Balai cerap ibu kota Zhejiang, Hangzhou, mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah iaitu 41.9°C pada Sabtu, dengan ramalan suhu 40-42°C sehingga Isnin.

Banyak kawasan di sekitar delta Sungai Yangtze boleh menjangkakan cuaca panas melebihi 37°C dalam beberapa hari akan datang, selepas suhu maksimum harian di tujuh stesen cuaca negara melepasi tahap 'melampau' dalam sejarah tempatan.

Dalam pada itu, balai cerap Jiangsu mengeluarkan amaran merah untuk cuaca panas pada Ahad selepas suhu tinggi yang berterusan selama lebih seminggu, semakin meningkat.

"Merkuri boleh mencapai 40°C di bandar Wuxi, Changzhou dan Zhenjiang," kata CCTV.

Berikutan situasi cuaca buruk itu, penduduknya telah menggunakan tenaga elektrik yang lebih tinggi, kerana penggunaan penyaman udara.

Lonjakan dalam permintaan elektrik itu bagaimanapun boleh mengancam masalah bekalan.

Grid Negeri Zhejiang sejak bulan lalu mula mengesyorkan pemilik kenderaan elektrik mengecas kenderaan mereka pada lewat malam untuk mengurangkan penggunaan elektrik pada waktu puncak harian, apabila suhu musim panas meningkat.

Ia juga menasihatkan orang ramai untuk mematikan penghawa dingin apabila suhu semakin sejuk.

Peramal cuaca negara pada Isnin memberi amaran tentang potensi bahaya kebakaran yang disebabkan oleh penggunaan kuasa yang berlebihan dan beban elektrik yang berlebihan.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM