BEIJING, 14 April- China menyatakan kebimbangan berhubung serangan peluru berpandu dan dron Iran ke Israel.
Jurucakap Kementerian Luar berkata China menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya negara yang mempunyai pengaruh, memainkan peranan yang membina untuk keamanan dan kestabilan rantau ini.
"China menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap peningkatan semasa dan menyeru pihak berkaitan supaya bertenang dan menahan diri untuk mengelakkan konflik meningkat dan berlarutan", katanya.
Dalam pada itu, Kedutaan Beijing di Tehran menasihatkan warga China supaya meningkatkan langkah keselamatan berhubung situasi tempatan di Iran yang kini menjadi lebih teruk dan kompleks.
Semalam, Iran melancarkan lebih daripada 200 dron dan peluru berpandu ke arah Israel, merupakan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Tehran telah berulang kali mengancam untuk menyerang Israel sebagai tindak balas terhadap serangan udara 1 April di bangunan konsular Damsyik.-AFP