fb fb fb fb fb

China anjur gala sempena ulang tahun ke-80 kemenangan perang menentang pencerobohan Jepun, Fasis

Foto Bernama

BEIJING, 3 Julai - China akan menganjurkan malam gala sempena memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia pada 3 Sept di Beijing.

Perkara itu diumumkan dalam satu sidang media yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Dewan Negara pada Khamis.

Sebagai sebahagian daripada acara memperingati sejarah, Muzium Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun di Beijing akan menganjurkan pameran tematik khas bermula 7 Julai, yang menampilkan 1,525 keping foto dan 3,237 artifak.

Selain itu, Jabatan Publisiti Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) bersama Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan akan menganjurkan siri persembahan pentas dari Ogos hingga Oktober.

Antara acara peringatan lain termasuk pameran karya seni yang akan berlangsung di Muzium Seni Negara China bermula Ogos dan September.

Sementara itu, Kumpulan Media China (CMG) akan menyiarkan siri dokumentari dan filem istimewa sempena sambutan ulang tahun berkenaan.

Dokumentari yang bakal disiarkan akan membawa penonton menghayati semula detik-detik sejarah menerusi foto dan rakaman video lama yang dibaik pulih menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).-BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH