fb fb fb fb fb

Britain perketat sekatan ke atas majikan eksploitasi pekerja asing

Foto Reuters

LONDON, 28 November – Britain mengumumkan langkah tegas untuk menangani eksploitasi pekerja asing, terutama dalam sektor penjagaan sosial, selepas penyelidikan mendedahkan amalan salah yang meluas.

Majikan yang melanggar peraturan visa atau undang-undang pekerjaan serius, seperti gagal membayar gaji minimum, akan dilarang merekrut pekerja asing selama dua tahun, meningkat daripada 12 bulan sebelum ini, menurut kenyataan rasmi.

Menteri Migrasi dan Kewarganegaraan, Seema Malhotra, mengecam amalan eksploitasi pekerja ini sebagai tidak boleh diterima.

“Malangnya, amalan memalukan ini sering berlaku dalam sektor penjagaan sosial, di mana pekerja migran yang datang untuk menyokong perkhidmatan penjagaan di UK mendapati diri mereka dalam keadaan tidak menentu dan terjerat hutang. Ini mesti dihentikan,” tegas Malhotra.

Pada 2021, Britain memperkenalkan laluan visa khas untuk menarik pekerja penjagaan sosial bagi mengisi kekosongan besar.

Namun, gaji rendah dan keadaan kerja yang lemah menyebabkan pekerja migran menjadi sasaran eksploitasi.

Menurut data, hampir satu pertiga pekerja penjagaan sosial di England adalah migran dari negara seperti India, Nigeria, Zimbabwe, dan Filipina.

Penyelidikan terkini mendapati hampir 200 penyedia penjagaan sosial dengan lesen pengambilan pekerja asing mempunyai rekod pelanggaran buruh.

Sejak Julai 2022, kerajaan telah membatalkan 450 lesen pengambilan pekerja asing dalam sektor tersebut.

Sebagai tambahan, rancangan tindakan pembetulan selama 12 bulan akan dikenakan ke atas syarikat yang melakukan pelanggaran visa kecil, menggantikan tempoh tiga bulan sebelum ini.

Langkah-langkah baharu ini akan dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang Hak Pekerjaan oleh kerajaan baharu, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh perlindungan pekerja.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN