fb fb fb fb fb

AS gesa Ukraine turunkan umur wajib tentera ke 18 tahun

Foto AFP

WASHINGTON, 28 November – Pentadbiran Presiden Joe Biden menggesa Ukraine untuk menurunkan umur minimum wajib tentera dari 25 kepada 18 tahun bagi menangani kekurangan anggota di tengah tekanan tentera Rusia.

Gesaan itu dibuat ketika spekulasi meningkat bahawa presiden yang bakal dilantik, Donald Trump, mungkin mengambil pendekatan baharu terhadap krisis tersebut, termasuk mendorong perjanjian damai antara Kiev dan Moscow.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Biden menyatakan bahawa Ukraine menghadapi "krisis mengisi jawatan" yang serius, dengan bilangan sukarelawan berkurangan dalam menghadapi musuh yang lebih besar dan bersenjata canggih.

"Ukraine tidak memobilisasi atau melatih jumlah askar yang mencukupi untuk menggantikan kehilangan di medan perang sambil bersaing dengan peningkatan kekuatan Rusia," katanya.

Pegawai itu turut mencadangkan agar umur minimum wajib tentera diturunkan kepada 18 tahun, selaras dengan piawaian Amerika Syarikat (AS).

Ukraine, yang telah bergelut dengan pencerobohan Rusia sejak Februari 2022, sebelum ini menurunkan umur minimum mobilisasi daripada 27 kepada 25 tahun.

Namun, White House menegaskan bahawa cadangan itu tidak mengikat bantuan ketenteraan AS kepada perubahan dasar wajib tentera Ukraine.

"Kami akan terus menghantar senjata dan kelengkapan kepada Ukraine, namun keperluan tenaga manusia kini menjadi keutamaan," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby.

Di sebalik pendekatan itu, Trump memberi isyarat perubahan apabila melantik Jeneral Bersara Keith Kellogg sebagai utusan khas untuk Ukraine.

Kellogg mencadangkan penggunaan bantuan ketenteraan AS sebagai pengaruh untuk mendorong rundingan damai antara Kiev dan Moscow.

Trump juga pernah mendakwa mampu mencapai perjanjian damai antara Ukraine dan Rusia dalam "24 jam," walaupun tanpa butiran lanjut.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN