HANOI, 19 Julai - Angka korban bot pelancong yang terbalik di Teluk Ha Long, Vietnam, meningkat kepada 28 orang, manakala lebih 10 lagi dilaporkan masih hilang.
Portal Dan Tri melaporkan, bot yang membawa 48 penumpang dan lima kru itu terbalik akibat hujan lebat secara tiba-tiba ketika melalui kawasan percutian yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Kebanyakan penumpang merupakan sekumpulan keluarga dari Hanoi, termasuk lebih 20 kanak-kanak.
Setakat ini, 12 mangsa berjaya diselamatkan, manakala operasi mencari dan menyelamat diteruskan sehingga malam.
Perdana Menteri Pham Minh Chinh mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau turut mengarahkan kementerian pertahanan serta keselamatan awam menjalankan operasi mencari dan menyelamat segera serta menyiasat punca kejadian.
Penduduk tempatan berkata cuaca tiba-tiba berubah sekitar pukul 2 petang dengan hujan batu, guruh dan kilat sebelum bot terbalik.
Teluk Ha Long, destinasi pelancongan terkenal di Vietnam, pernah mencatat insiden serupa tahun lalu apabila 30 bot karam akibat ribut kuat dibawa Taufan Yagi. - AFP