SONIPAT, 20 Mac- Seorang wanita di India bertindak nekad memanjat menara penghantaran elektrik voltan tinggi di Kampung Chhathara, daerah sini selepas bertengkar dengan suaminya pada Isnin.
Rakaman menunjukkan mangsa, Vandana Patel, 28, memanjat menara di kawasan lapang sementara pihak polis bergegas ke lokasi selepas menerima laporan.
Bagi memastikan keselamatannya, pihak berkuasa membentangkan kain penyelamat di bawah menara sebagai langkah berjaga-jaga.
Seorang pegawai polis turut memanjat menara terbabit untuk memujuk Vandana untuk turun.
Menurut laporan, Vandana bertindak demikian selepas bertelingkah dengan suaminya, Ajay Kumar Patel, sekitar tengah hari pada hari kejadian.
Kejadian itu menarik perhatian lebih 3,000 penduduk yang berkumpul menyaksikan insiden tersebut.
Polis yang tiba selepas menerima maklumat segera meminta Vandana turun, namun wanita itu menyatakan ketakutan kerana ketinggian menara.
Susulan itu, operasi menyelamat dilancarkan dengan pihak berkuasa meminta bekalan elektrik diputuskan sebelum berjaya menyelamatkan wanita berkenaan. -Reuters