TAIPEI, 25 November- Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan sebuah belon China telah dikesan di kawasan laut, utara Taiwan.
Menurut kementerian itu belon tersebut dikesan pada pukul 6.21 petang waktu tempatan pada Ahad, kira-kira 60 batu nautika (111 km) di utara pelabuhan Keelung di Taiwan.
"Belon itu kemudian hilang kira-kira dua jam kemudian, setelah terbang pada ketinggian 33,000 kaki (10,000 meter), tetapi tanpa melintasi wilayah Taiwan, menurut kementerian tersebut.
Insiden tersebut berlaku pertama kali sejak April lalu. Ia merupakan sebahagian corak gangguan oleh Beijing.
Taiwan yang dituntut oleh China sebagai wilayahnya, memaklumkan bahawa dalam beberapa minggu menjelang Pilihan raya Presiden pada Januari, aktiviti belon China berlaku pada "skala yang belum pernah terjadi sebelum ini."
Ia menyifatkan insiden itu sebagai sebahagian daripada kempen tekanan China yang dikenali sebagai "peperangan zon kelabu", yang bertujuan melemahkan musuh menggunakan taktik tanpa pertempuran terbuka.
Taiwan sekeras-kerasnya menolak tuntutan China dan menegaskan bahawa hanya rakyat pulau itu yang boleh menentukan masa depan mereka.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan China tidak memberi respons terhadap berhubung insiden tersebut.
China sebelum ini menafikan dakwaan Taiwan mengenai belon tersebut, dengan mengatakan ia digunakan untuk tujuan meteorologi dan tidak sepatutnya dipolitikkan.
Penggunaan belon oleh China untuk tujuan pengintipan menjadi isu global tahun lalu, apabila Amerika Syarikat menembak jatuh belon pengintip China.-REUTERS