fb fb fb fb fb

Bekas Presiden Brazil terima notis saman ketika dirawat di hospital

Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro/AFP

BRASÍLIA, 24 April- Mahkamah Brazil menyerahkan notis saman kepada bekas presiden Jair Bolsonaro di hospital, memberi tempoh lima hari untuk mengemukakan pembelaan berhubung dakwaan cubaan rampasan kuasa selepas kekalahannya dalam pilihan raya 2022.

Bolsonaro, 70, kini sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi selepas menjalani pembedahan usus susulan komplikasi akibat serangan tikaman yang dialaminya pada 2018.

Reaksi terhadap notis itu dirakam dalam video yang dimuat naik di platform X, di mana beliau mempersoalkan keadilan diberikan tempoh hanya lima hari untuk menyediakan pembelaan.

"Saya masih di ICU, lima hari?," katanya di X.

Mahkamah Agung Brazil menyatakan keputusan menyerahkan notis dibuat selepas Bolsonaro dilihat aktif dalam siaran langsung YouTube bersama tiga anaknya dan bekas juara F1, Nelson Piquet.

Tempoh tersebut adalah untuk beliau menyerahkan dokumen pembelaan, senarai bukti dan saksi untuk perbicaraan yang bakal menjadikan beliau bekas pemimpin pertama dibicarakan atas dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan sejak 1985.

Jika disabit kesalahan, Bolsonaro berdepan hukuman penjara sehingga 40 tahun serta larangan bertanding dalam pilihan raya presiden akan datang.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM