fb fb fb fb fb

Bekas PM Pakistan tidak layak bertanding dalam pilihan raya umum selama 5 tahun

(Gambar yang diambil pada 14 Oktober 2022, penyokong bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan
mendengar ucapan beliau semasa mesyuarat kempen pilihan raya kecil di Karachi/Foto AFP)

ISLAMABAD, 21 Oktober- Bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan hilang kelayakan daripada bertanding jawatan politik selama lima tahun.

Ia selepas suruhanjaya pilihan raya negara itu mendapati beliau bersalah kerana memberi kenyataan mengelirukan tentang hadiah yang diterima daripada pemimpin asing semasa berkuasa.

Keputusan itu adalah perubahan terbaharu dalam perbalahan politik yang bermula sebelum penyingkiran Imran pada April dan merupakan salah satu daripada beberapa pertempuran undang-undang yang diperjuangkan oleh bekas bintang kriket antarabangsa itu dan partinya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI).

"ECP (Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan) telah mengisytiharkan Imran Khan terlibat dalam amalan rasuah," kata Gohar Khan, salah seorang peguamnya, memberitahu AFP.

"Kami akan mencabar larangan itu di Mahkamah Tinggi Islamabad," tambahnya.

(Imran Khan/Foto REUTERS)

Mahkamah Pakistan sering digunakan untuk mengikat penggubal undang-undang dalam prosiding berpanjangan yang dikritik oleh pemantau hak kerana menyekat pembangkang politik.

Bagaimanapun, pembabitan suruhanjaya dalam kes ini berpunca daripada kewajipan pegawai yang dipilih untuk mengisytiharkan semua aset mereka.

Kes itu tertumpu kepada sebuah jabatan kerajaan dikenali sebagai 'Toshakhana', yang semasa era Mughal ia merujuk kepada 'rumah harta karun' untuk menyimpan dan mempamerkan hadiah yang dilimpahkan kepada mereka.

Pegawai kerajaan mesti mengisytiharkan semua hadiah, tetapi dibenarkan menyimpannya di bawah nilai tertentu.

Barangan yang lebih mahal mesti pergi ke Toshakhana, tetapi dalam beberapa kes penerima boleh membelinya semula pada kira-kira 50 peratus daripada nilainya.

Akhbar Pakistan selama berbulan-bulan menyiarkan cerita yang mendakwa Imran dan isterinya menerima hadiah mewah bernilai berjuta-juta semasa lawatan ke luar negara, termasuk jam tangan mewah, barang kemas, beg tangan berjenama dan minyak wangi.-AFP

Media Baharu