fb fb fb fb fb

Bekas ketua kartel dadah Mexico dibebaskan dari penjara AS

Foto ihsan Pejabat Pendakwa Raya Umum Mexico, menunjukkan ketua Gulf Cartel, Osiel Cardenas Guillen (tengah), dalam tahanan di atas sebuah pesawat dikawal oleh anggota Agensi Penyiasatan Persekutuan (AFI) Mexico pada 20 Januari 2007, sebelum diekstradisi ke Amerika Syarikat / FOTO AFP

WASHINGTON, 31 Ogos- Osiel Cardenas Guillen, bekas ketua kartel dadah terkenal Mexico, Gulf Cartel dan kumpulan penjenayah Los Zetas, telah dibebaskan pada hari Jumaat dari penjara AS dan diserahkan kepada jabatan imigresen.

Cardenas Guillen ditangkap pada tahun 2003 dan diekstradisi empat tahun kemudian ke Amerika Syarikat, di mana dia mengaku bersalah atas tuduhan penyeludupan dadah, pengubahan wang haram, dan pemerasan.

Seorang pegawai daripada Biro Penjara Persekutuan memberitahu AFP bahawa Cardenas Guillen, 57 tahun, dibebaskan pada Jumaat dan diserahkan ke dalam jagaan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE).

Dia mempunyai beberapa tuduhan yang masih belum diselesaikan di Mexico, tetapi masih belum diketahui sama ada kerajaan AS akan mengambil langkah untuk menghantarnya pulang.

Gulf Cartel pernah menjadi salah satu kumpulan penjenayah paling ditakuti di Mexico, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini kehilangan pengaruh dan berpecah kepada beberapa kumpulan kecil.

Sebagai ketua kartel, Cardenas Guillen mengendalikan empayar penyeludupan dadah yang bertanggungjawab mengeksport sejumlah besar kokain dan ganja ke Amerika Syarikat dari Mexico.

Dikenali dengan gelaran "El Mata Amigos" (Pembunuh Kawan), dia merekrut bekas askar pasukan khas Mexico untuk membentuk pengawal peribadinya, yang akhirnya bertindak secara bebas bawah nama Los Zetas, salah satu kumpulan yang paling ganas di negara itu.

Selepas penangkapannya di negeri sempadan timur laut Tamaulipas, dia diekstradisi pada tahun 2007 ke Amerika Syarikat, di mana dia dijatuhi hukuman penjara 25 tahun pada tahun 2010 dan diperintahkan membayar AS$50 juta.

Selepas penangkapannya, Zetas mula beroperasi dengan lebih bebas sehingga akhirnya mereka berpisah dengan Gulf Cartel pada tahun 2010, yang mencetuskan perang untuk menguasai laluan penyeludupan dadah di timur dan timur laut Mexico.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE