fb fb fb fb fb

Beberapa bandar di AS ditenggelami air akibat banjir

(FOTO REUTERS)

NEW YORK, 11 Julai - Hujan lebat dan banjir kilat di Amerika Syarikat menenggelamkan beberapa lebuh raya dan meragut satu nyawa di New York.

Sebahagian daripada New York, New Jersey, Connecticut, Pennsylvania, Massachusetts dan Vermont berada bawah amaran banjir dengan merekodkan hujan lebat dan banjir kilat yang membawa ancaman maut, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).

Hujan lebat New York pada Ahad menyebabkan jalan raya tidak dapat dilalui, memaksa Gabenor Kathy Hochul mengisytiharkan darurat di dua daerah.

Pejabat Pengurusan Kecemasan Orange County mengesahkan wanita berusia 35 tahun maut di Highland Falls, di sini.

Hochul berkata, wanita itu hanyut ketika dia bersama-sama anjingya ketika cuba meninggalkan kediamannya.

"Tunangnya melihat dia hanyut," kata gabenor itu kepada pemberita.

(FOTO REUTERS)

Pada petang Ahad, lebih 12,000 penduduk terputus bekalan elektrik, bagaimanapun angka itu berkurangan kepada 3,800.

Perkhidmatan kereta api Amtra di New York City dan ibu negeri Albany dihentikan sementara disebabkan cuaca buruk setakat 5:30 pagi, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Hochul berkata hujan diramal bergerak menuju ke Vermont.

"Kadar hujan yang dijangkakan ialah 0.25 hingga 0.5 inci dalam masa 1 jam," kata NWS dalam amaran negeri. "Banjir kilat sudah berlaku" dan "banjir besar" dijangka pada Isnin di bahagian Vermont.

Gabenor Phil Scott mengisytiharkan darurat.

"Pasukan penyelamat Swiftwater telah ditempatkan di lokasi strategik di seluruh negeri, sekiranya mereka perlu membantu pemindahan dan penyelamatan daripada air banjir," kata pejabat Scott dalam satu kenyataan pada Ahad. - AFP

Media Baharu