fb fb fb fb fb

Banjir kilat landa Toronto menyebabkan gangguan bekalan elektrik, lalu lintas

FOTO REUTERS

TORONTO, 17 Julai- Hujan lebat pada Selasa mencetuskan banjir kilat di Toronto,menyebabkan bekalan elektrik terputus, mengganggu lalu lintas dan memaksa syarikat penerbangan menyekat perkhidmatan.

Syarikat pengedaran tenaga tempatan, Toronto Hydro berkata ia bertindak balas terhadap gangguan yang disyaki berpunca daripada banjir di stesen penghantaran.

"Pada jam 3 petang, kira-kira 123,000 pelanggan terputus bekalan elektrik," katanya.

Pihak Lapangan Terbang Billy Bishop, yang terletak di sebuah pulau di luar pusat bandar Toronto, berkata terowong pejalan kaki di bawah air menuju ke terminal penumpang, dinaiki air dan ditutup buat sementara waktu. Sekurang-kurangnya beberapa penerbangan telah ditangguhkan atau dibatalkan.

Pada waktu makan tengah hari, banyak restoran di pusat bandar Toronto yang biasanya sibuk menjadi lengang dengan chef dan pelayan restoran berkumpul di luar, berbual dan menunggu elektrik disambung semula.

Lampu isyarat terpadam manakala kelihatan kereta dan trak penghantaran tersadai di jalan bandar di beberapa persimpangan.

Menurut pakar cuaca, di seluruh dunia, ribut hujan lebat terjadi kerana perubahan iklim dan memberi tekanan berat pada infrastruktur yang di kebanyakan bandar tidak direka untuk mengendalikan hujan lebat yang berterusan.

Suruhanjaya Transit Toronto, yang mengendalikan perkhidmatan kereta api bawah tanah dan bas berkata kereta api memintas Union Station, terminal kereta api utama di bandar itu.

Go Transit, yang mengendalikan perkhidmatan kereta api dari pinggir bandar Toronto, berkata banjir telah menyebabkan beberapa gangguan.

Sebahagian daripada Don Valley Parkway, lebuh raya utama di timur pusat bandar telah menyerupai sungai sejurus selepas hujan bermula, dengan imej menunjukkan kereta terhenti di dalam air banjir sedalam berpuluh-puluh cm.

Brandon Rolle, 24 berkata, dia terperangkap di dalam keretanya di Don Valley Parkway selama dua jam sebelum pasukan bomba datang menyelamatkannya, namun keretanya masih tersangkut di lebuh raya yang dinaiki air sehingga ia boleh ditarik.

"Mereka mengatakan mereka perlu menunggu sehingga air surut," katanya.

Hujan berhenti sekitar tengah hari, dan Environment Canada meramalkan langit berawan untuk sepanjang hari Selasa.

Datuk Bandar Toronto, Olivia Chow dalam taklimat televisyen berkata perkhidmatan kecemasan tidak terjejas oleh banjir, tetapi terdapat sedikit banjir berlaku di bahagian Dewan Bandaraya.

Dagangan di Bursa Saham Toronto berjalan seperti biasa, kata TSX.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI