LAHORE, 11 Julai - Empat maut dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu akibat kejadian banjir yang melanda bandar kedua terbesar di Pakistan susulan hujan lebat.
Banjir menenggelamkan kawasan rendah, mengganggu lalu lintas dan memaksa pihak berkuasa memindahkan penduduk yang terjejas merentasi bandar metropolitian tersebut.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) memaklumkan, bencana tersebut menyebabkan beberapa daerah komersial utama, termasuk Gulberg dan Pasar Liberty lumpuh ditenggelami banjir.
Sehingga kini, 90 orang termasuk 45 kanak-kanak meninggal dunia akibat banjir dan bencana berkaitan hujan sejak 26 Jun lalu.
Menurut statistik yang dikeluarkan pihak NDMA, kebanyakkan mangsa maut akibat lemas, tanah dan struktur bangunan runtuh semasa hujan lebat.
Pihak berkuasa turut menjangkan peningkatan banjir kilat dan peningkatan paras air tasik glasier di wilayah utara dan barat laut Gilgit-Baltistan serta Khyber Pakhtunkhwa susulan peningkatan suhu ketika ini.-REUTERS