fb fb fb fb fb

Banjir di Australia, ribuan rakyat diarah berpindah

(FOTO AFP)

SYDNEY, 3 Julai - Ribuan penduduk diarah berpindah ke barat daya Sydney, bandar terbesar Australia hari ini susulan hujan lebat dan ribut membadai kawasan pantai timur negara itu.

Biro cuaca memberi amaran mengenai hujan lebat yang berpotensi mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh di sepanjang wilayah pantai timur dari Newcastle ke Teluk Bateman di negeri New South Wales dengan hujan dijangka meningkat dalam tempoh dua hari akan datang.

(FOTO AFP)

"Kami kini menghadapi bahaya dalam pelbagai aspek seperti banjir kilat, banjir sungai dan hakisan pantai," kata Menteri Perkhidmatan Kecemasan New South Wales, Steph Cooke dalam taklimat media televisyen.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya mempertimbangkan semula perjalanan bercuti dengan cuaca buruk melanda pada awal cuti sekolah.

Lebih 200 milimeter (mm) hujan melanda banyak kawasan dengan sebahagiannya mencecah sehingga 350mm, kata Biro Meteorologi memberi amaran mengenai risiko banjir di sepanjang Sungai Nepean.

Hujan lebat menyebabkan empangan utama Sydney melimpah, kata pihak berkuasa air sambil menambah permodelan menunjukkan tumpahan itu akan setanding dengan tumpahan besar yang berlaku pada Mac 2021 di Empangan Warragamba.-AFP

Media Baharu