fb fb fb fb fb

Australia adakan rundingan pembebasan ahli kumpulan 'Bali Nine'

FOTO REUTERS

SYDNEY, 24 November- Ahli kumpulan "Bali Nine" yang masih dipenjara mungkin dibebaskan dari Indonesia dan dihantar pulang ke Australia jika rundingan berhubung perkara berkenaan berjaya, kata seorang menteri pada Ahad.

Polis Indonesia menahan sembilan warga Australia pada tahun 2005,atas tuduhan cuba menyeludup lebih daripada lapan kilogram heroin keluar dari pulau percutian Bali.

Dalam kes yang mendapat perhatian global itu menyaksikan dua anggota kumpulan terbabit dihukum mati dengan skuad penembak, manakala yang lain menerima hukuman penjara yang panjang.

Menteri Perdagangan Australia, Don Farrell, menyatakan Australia sedang berusaha untuk membawa pulang lima lagi lelaki yang masih dipenjara di Indonesia.

“Perbincangan masih berjalan,” katanya kepada Sky News Australia.

“Mereka akan terus menjalani hukuman, tetapi di Australia.”

“Kita akan lihat apa yang berlaku dalam beberapa hari dan minggu akan datang.”

Jabatan Luar Negeri Australia berkata pihaknya memberi sokongan konsular kepada kesemua banduan tersebut dan keluarga mereka serta akan terus memperjuangkan kepentingan mereka.

Dua suspek utama Andrew Chan dan Myuran Sukumaran, dihukum mati oleh skuad penembak pada tahun 2015 walaupun kerajaan Australia berulang kali mengemukakan rayuan untuk meringankan hukuman.

Tan Duc Thanh Nguyen meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2018, beberapa bulan sebelum Renae Lawrence dibebaskan selepas hukuman penjaranya diringankan.

Matthew Norman, Si Yi Chen, Michael Czugaj, Scott Rush, dan Martin Stephens masih dipenjara.

Ahli termuda kumpulan itu, Norman, berusia 18 tahun ketika ditangkap.

Indonesia, mempunyai undang-undang dadah antara yang paling ketat di dunia, termasuk hukuman mati bagi penyeludup dadah.

Bukan perkara yang luar biasa bagi warga asing ditangkap atas kesalahan dadah di Bali, sebuah destinasi yang menarik jutaan pelancong ke pantainya setiap tahun.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE