ERZURUM, 22 Disember- Seorang atlet judo remaja Turkiye, Emre Yazgan, 18, terkorban dalam insiden runtuhan salji di kawasan ski Palandoken, di sini pada Sabtu.
Insiden tragik itu berlaku ketika Yazgan bersama lima lagi atlet muda yang sedang menjalani latihan mendaki laluan tersebut sebelum secara tiba-tiba salji tebal menimbus mereka.
Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mereka daripada timbunan salji, namun Yazgan disahkan meninggal dunia di hospital, manakala empat lagi remaja mengalami kecederaan.
Federasi Judo Turkiye, Federasi Bola Sepak Turkiye (TFF) dan Menteri Belia dan Sukan Turkiye, Osman Askin Bak menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Yazgan.
Gabenor Erzurum, Mustafa Ciftci berkata, "Atlet kita, Emre Yazgan, tidak dapat diselamatkan meskipun semua usaha dilakukan. Takziah kepada seluruh negara."
Ciftci turut menjelaskan bahawa kumpulan atlet itu yang menyertai kem latihan di kawasan altitud tinggi bersama 13 atlet sukan tempur lain telah memilih laluan tanpa pemandu dan tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa.
"Kumpulan ini tidak memaklumkan pihak berkuasa sebelum memulakan aktiviti. Jika mereka melaporkan kepada pihak berkuasa, kami boleh memberi panduan laluan selamat untuk mereka," tambahnya. -Reuters