(Presiden Joe Biden mengatakan tidak perlu bimbang mengenai perang nuklear selepas Moscow meletakkan angkatan nuklearnya dalam keadaan berjaga-jaga ekoran serangan balas Barat susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine)
WASHINGTON, 1 Mac - Amerika Syarikat (AS) mengetepikan kemungkinan tercetusnya perang nuklear, ketika pertempuran di Ukraine semakin hebat dengan lebih banyak bekalan senjata kuasa Barat dihantar ke Kiev.
Presiden AS, Joe Biden ketika ditanya pemberita sama ada beliau bimbang dengan tindakan rakan sejawatannya, Vladimir Putin mengarahkan unit senjata nuklear Rusia supaya bersiap sedia, memberi jawapan ringkas "tidak".
(Presiden AS, Joe Biden berucap satu program di  Washington semalam/AFP)
Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price pula berkata beliau tidak nampak sebarang sebab untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan nuklear AS.
Namun beliau menyifatkan arahan Putin itu sebagai retorik provokatif yang berbahaya dan perlu dielak.
AS dan Rusia sejak sekian lama berkongsi pendirian bahawa penggunaan senjata nuklear mengundang kesan yang sangat dahsyat.
Sementara itu jurucakap Jabatan Pertahanan, John Kirby berkata Pentagon akan terus memantau dan membuat analisis kedudukan Rusia.
"Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin masih mengekalkan strategi sedia ada dan yakin dengan keupayaan kami mempertahankan keselamatan tanah air," kata Kirby kepada pemberita. -AFP