fb fb fb fb fb

AS ugut kenakan tarif 30 peratus ke atas Mexico, EU bermula 1 Ogos

Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat

WASHINGTON, 12 Julai - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Sabtu mengugut untuk mengenakan tarif import 30 peratus ke atas Mexico dan Kesatuan Eropah (EU) bermula 1 Ogos ini.

Langkah itu diumumkan menerusi surat berasingan kepada Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, yang dimuat naik di Truth Social.

“Bermula 1 Ogos 2025, kami akan mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas produk Mexico yang dihantar ke Amerika Syarikat, berasingan daripada semua tarif sektoral.

Barangan yang dihantar semula bagi mengelak tarif lebih tinggi akan dikenakan tarif tambahan. Jika anda memilih untuk menaikkan tarif, maka apa jua jumlah kenaikan itu akan ditambah kepada 30 peratus yang kami kenakan,” kata Trump kepada Sheinbaum.

Trump mendakwa Mexico gagal membanteras kartel dadah walaupun membantu mengawal sempadan.

Mexico kini menghantar lebih 80 peratus eksportnya ke AS dan muncul sebagai rakan dagang utama negara itu pada 2023, mengatasi China.

Dalam surat kepada von der Leyen pula, Trump menegaskan, jumlah 30 peratus ini sebenarnya jauh lebih rendah daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan defisit perdagangan antara AS dan EU. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN