fb fb fb fb fb

Anugerah Grammy ke-67 akan diteruskan

Anugerah Grammy – Pengiktirafan berprestij oleh Akademi Rakaman untuk pencapaian cemerlang dalam industri muzik

LOS ANGELES, 14 Januari – Anugerah Grammy ke-67, yang dijadualkan berlangsung pada 2 Februari, akan diteruskan seperti yang dirancang walaupun Los Angeles masih dilanda kebakaran besar, menurut Akademi Rakaman pada Isnin.

Penganjur mengesahkan acara gala muzik tersebut akan diadakan di Crypto.com Arena, pusat bandar Los Angeles.

Anugerah Grammy ialah anugerah berprestij yang diberikan oleh Akademi Rakaman (Recording Academy) di Amerika Syarikat untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam industri muzik. Ia dianggap sebagai salah satu penghormatan tertinggi dalam dunia muzik, setanding dengan Anugerah Oscar dalam filem.

"Anugerah pada tahun ini akan membawa matlamat baharu, iaitu mengumpul dana tambahan bagi membantu mangsa kebakaran serta memberikan penghargaan kepada keberanian dan dedikasi anggota penyelamat yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi keselamatan kita semua,"kata Ketua Akademi Rakaman, Harvey Mason Jr, dalam surat yang turut ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Tammy Hurt.

Acara kemuncak akan disiarkan secara langsung di CBS bakal menampilkan calon-calon hebat seperti Beyonce, Taylor Swift, Billie Eilish, dan Kendrick Lamar

Kebakaran besar yang melanda sejak hampir seminggu lalu telah meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa, memaksa puluhan ribu penduduk berpindah, dan memusnahkan sebahagian besar kawasan di Los Angeles.

Akademi Rakaman melancarkan usaha bantuan dengan sumbangan awal sebanyak $1 juta (RM4.5 juta) untuk pekerja industri muzik yang terjejas.

Sehingga kini, lebih $2 juta (RM9 juta) bantuan kecemasan telah diagihkan hasil sumbangan tambahan. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN