fb fb fb fb fb

Angka korban taufan Chido di Mayotte meningkat ke 39

Taufan Chido memusnahkan ratusan rumah penduduk di sebuah pulau di dearah Kawani, bandar Mamouzou, Mayotte pada 20 Disember lalu/Foto AFP

MAMOUDZOU, 25 Disember – Angka korban akibat taufan Chido yang melanda wilayah Perancis di Lautan Hindi, Mayotte, kini meningkat kepada 39 orang.

Kementerian Dalam Negeri Perancis turut memaklumkan jumlah mangsa cedera kini seramai 4,136 orang, dengan 124 daripadanya mengalami kecederaan serius.

"Proses mengenal pasti mangsa masih diteruskan dengan kerjasama pegawai tempatan dan badan-badan sukarelawan," kata Mayotte.

Operasi bantuan mencari dan menyelamat diperluaskan

Sejak bencana melanda pada 14 Disember lalu, sekurang-kurangnya 34 operasi pencarian mangsa hilang telah diaktifkan dengan bantuan dron.

Sebuah hospital lapangan yang dilengkapi wad bersalin dan dua bilik pembedahan telah dibuka pada awal pagi Selasa di sebuah stadium di Mamoudzou.

Hospital itu mampu menerima 100 pesakit sehari untuk konsultasi dengan 30 katil disediakan bagi pesakit yang memerlukan rawatan lanjut.

Kesan terburuk dalam tempoh 90 tahun

Taufan Chido adalah yang paling dahsyat melanda Mayotte dalam tempoh 90 tahun, menyebabkan kerosakan besar di wilayah termiskin Perancis itu.

Pasukan penyelamat masih berusaha memulihkan perkhidmatan asas seperti bekalan air, elektrik, dan komunikasi.

Kerajaan melaporkan sebanyak 100,000 liter air kini diedarkan setiap hari.

Sekatan petrol yang sebelum ini dihadkan kepada 30 liter setiap kereta telah ditarik balik, namun setiap individu hanya dibenarkan mengisi satu tong.

Pesawat kini digunakan setiap hari untuk menghantar lebih 100 tan bekalan dan peralatan dari Reunion dan Perancis ke Mayotte bagi membantu usaha pemulihan selepas taufan Chido. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN