fb fb fb fb fb

Pengakuan Israel bunuh Ismail Haniyeh jenayah keji- Iran

Duta Besar Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani/ Foto UN

NEW YORK, 25 Disember- Iran mengecam pengakuan secara terang-terangan Israel berhubung pembunuhan bekas ketua Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran.

Duta Besar Iran ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani, menerusi suratnya kepada Setiausaha Agung PBB menyifatkan pembunuhan Ismail oleh Israel sebagai tindakan keganasan yang sangat keji.

Beliau berkata kenyataan Menteri Pertahanan Israel Israel Katz menunjukkan Iran berhak menyerang Israel sebagai tindak balas.

"Pengakuan terang-terangan ini menandakan kali pertama rejim Israel secara terbuka mengakui tanggungjawabnya terhadap jenayah keji ini", katanya dalam surat tersebut.

Beliau menegaskan kesahihan tindak balas pertahanan Iran pada 1 Oktober lalu serta pendirian konsisten Iran bahawa rejim penjajah dan pengganas Israel kekal sebagai ancaman paling serius kepada keamanan, keselamatan serantau dan antarabangsa.

Oktober lalu, Iran mengatakan pihaknya melancarkan 200 peluru berpandu ke Israel, sebagai tindak balas terhadap pembunuhan itu.

Isnin lalu, Israel mengakui pihaknya bertanggungjawab atas pembunuhan itu, kali pertama pengakuan rasmi dibuat.

Sehingga Isnin lalu, Israel tidak pernah mengaku membunuh Ismail Haniyeh. Bagaimanapun, Iran dan Hamas mendakwa negara itu bertanggungjawab atas kematian pemimpin politik Hamas tersebut.

Ismail mengetuai usaha rundingan untuk gencatan senjata di Gaza, telah dibunuh di sebuah penginapan di Tehran pada 31 Julai lalu.

Pada 27 September, Israel membunuh ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah dalam pengeboman di Beirut, diikuti dengan pembunuhan pengganti Ismail Haniyeh, Yahya Sinwar, pada 16 Oktober di Gaza. -AFP

ROSLINA BINTI DIN