GAZA, 5 Disember - Sekurang-kurangnya 70,125 rakyat Palestin terbunuh dan 171,015 lagi cedera sejak pusingan terbaharu konflik Israel-Hamas meletus pada 7 Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza dalam satu kenyataan.
Walaupun gencatan senjata antara kedua-dua pihak berkuat kuasa sejak 10 Oktober lalu, namun jumlah kematian terus meningkat apabila Israel masih meneruskan serangan udara yang menyasarkan kedudukan Hamas.
Pihak berkuasa kesihatan melaporkan, dalam tempoh 24 jam, hospital-hospital di Gaza menerima lapan lagi mayat, termasuk enam kematian baharu dan dua mayat yang ditemukan bawah runtuhan.
"Serangan berkala Israel telah mengorbankan 366 rakyat Palestin dan mencederakan 938 mangsa lain di wilayah yang terkepung itu sejak 11 Oktober, manakala 619 mayat turut ditemukan bawah runtuhan," menurut kenyataan itu.
Pada Rabu lalu, sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah khemah yang menempatkan penduduk yang dipindahkan di bandar Khan Younis, selatan Gaza.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal berkata, serangan udara itu menyasarkan khemah di kawasan Al-Mawasi, barat Khan Younis dan membunuh kesemua lima orang yang berada di dalamnya.
Agensi penyiaran Israel, KAN melaporkan kononnya kumpulan pejuang Palestin masih bersembunyi di terowong Rafah ketika tentera Israel meneruskan operasi untuk menahan mereka. -REUTERS