NEW YORK, 13 Julai- Suhu panas melampau melanda sebahagian besar Amerika Syarikat musim panas ini, dengan banyak tempat di California, Nevada, Arizona dan Utah berada di bawah amaran panas melampau, menurut data rasmi dan laporan media.
Pada Khamis, lebih 60 juta rakyat Amerika berada di bawah amaran panas daripada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan. Suhu pada musim panas ini kadang kala berada antara 10 hingga 30 darjah di atas purata suhu di negeri-negeri Barat, lapor Xinhua yang memetik The New York Times pada Jumaat.
"Natijahnya semakin dirasai di bilik kecemasan negara, dengan petugas perubatan berhadapan dengan pesakit terjejas oleh kepanasan, suhu badan mereka yang melonjak sehingga boleh membawa maut jika tidak ditangani dengan segera," katanya.
Sekitar 2,300 orang meninggal dunia akibat penyakit berkaitan suhu panas di Amerika Syarikat pada 2023, tiga kali ganda purata tahunan antara 2004 dan 2018.
Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), hampir 120,000 lawatan kecemasan berkaitan panas direkodkan di seluruh Amerika Syarikat tahun lepas.- BERNAMA