KOREA SELATAN, 29 Oktober - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa beliau berjaya menghalang berlaku perang antara India dan Pakistan tahun ini dengan memberi amaran untuk mengenakan tarif sebanyak 250 peratus ke atas kedua-dua negara itu.
Trump berkata beliau telah menghubungi Perdana Menteri India Narendra Modi dan para pemimpin Pakistan untuk memaklumkan bahawa Washington akan menghentikan perdagangan serta mengenakan tarif besar-besaran itu sekiranya pertempuran yang tercetus pada Mei diteruskan.
Menurut Trump, kedua-dua pihak yang pada mulanya menolak gesaannya untuk melaksanakan gencatan senjata akhirnya akur.
“Saya katakan tarif 250% akan dikenakan ke atas setiap negara, yang bermaksud anda tidak akan dapat berniaga lagi. Itu cara halus untuk mengatakan kami tidak mahu berniaga dengan anda,” kata Trump dalam ucapannya pada sidang kemuncak Asia-Pasifik, di sini.
Kedua-dua negara belum memberi kenyataan berhubung dakwaan Trump.
Trump sebelum ini pernah membuat dakwaan serupa berhubung memberi amaran kepada kedua-dua negara susulan konflik terbabit.
Bagaimanapun New Delhi menyatakan bahawa keputusan untuk menghentikan persengketaan itu dibuat selepas menerima permintaan daripada Pakistan.
Islamabad pula mengucapkan terima kasih kepada Trump atas peranannya sebagai pengantara dan mencalonkannya untuk Hadiah Nobel Keamanan kerana berjaya menghentikan perang. - REUTERS