TOKYO, 23 Julai - Pulau utara Jepun, Hokkaido, dilanda cuaca panas melampau pada Rabu apabila suhu mencecah paras tertinggi yang pernah direkodkan di beberapa bandar.
Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran strok haba di seluruh negara.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), lapan pekan dan sebuah bandar di pulau tersebut mencatatkan suhu tertinggi sejak data rasmi mula direkodkan pada 1977.
Pekan Bihoro merupakan kawasan paling panas di Hokkaido dengan suhu mencecah 38.2 darjah Celsius pada petang Rabu.
"Kami menyeru penduduk agar berwaspada terhadap strok haba melalui laman web rasmi dan aplikasi pesanan media sosial kami," kata Ryo Nakachi, seorang pegawai kerajaan di bandar Kitami kepada AFP.
Kitami telah membuka "pusat penyejukan" kepada penduduk, terutamanya mereka yang tidak memiliki pendingin hawa di rumah.
Seorang ahli meteorologi JMA di Hokkaido menjelaskan bahawa langit yang cerah, aliran udara panas dari China dan angin kering dari cerun bukit menyumbang kepada suhu tinggi yang dicatatkan pada Rabu.
Kementerian Alam Sekitar Jepun turut mengeluarkan amaran strok haba pada hari tersebut meliputi sebahagian besar kepulauan negara itu, termasuk separuh wilayah Hokkaido.
Suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Hokkaido ialah 39.5 darjah Celsius pada Mei 2019 di Saroma, menurut ahli meteorologi JMA, Akiko Miura.
Gelombang panas ini berlaku selepas Jepun mengalami bulan Jun paling panas dalam rekod, sejajar dengan perubahan iklim yang menyebabkan gelombang haba melanda di seluruh dunia.
Menurut JMA, purata suhu bulan Jun di Jepun meningkat sebanyak 2.34 darjah Celcius berbanding nilai purata normal.
Musim panas Jepun tahun lalu adalah yang paling panas pernah dicatatkan, diikuti musim luruh paling panas sejak rekod dimulakan 126 tahun lalu. -AFP