SIBOLGA, 4 Disember - Amaran hujan terbaharu yang dikeluarkan pada Khamis menimbulkan kebimbangan akan berlaku lebih banyak kerosakan di Indonesia dan Sri Lanka yang telah pun dilanda banjir.
Di Indonesia, agensi meteorologi memberi amaran, tiga wilayah paling teruk terjejas di Pulau Sumatera akan mengalami hujan tahap sederhana hingga lebat antara Khamis hingga Jumaat.
Hujan bermula sejak malam tadi, namun belum mencapai tahap pada minggu lalu yang menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh.
Sebanyak 776 kematian direkodkan setakat Khamis, sedikit berkurangan berbanding hari sebelumnya apabila maklumat diterima dari kawasan terpencil yang sukar diakses.
Lebih 560 orang masih hilang.
Komunikasi dan bekalan elektrik yang terputus menyusarkan usaha menjejaki lokasi mereka.
Media tempatan melaporkan kekurangan makanan, serta kenaikan harga barangan yang tidak munasabah, selain kegiatan kecurian yang berleluasa.
Di Sri Lanka, agensi meteorologi menjangkakan Monsun Timur Laut melanda negara itu mulai petang ini.
Amaran tanah runtuh turut diperbaharu bagi beberapa kawasan paling teruk terjejas di wilayah tengah dengan penduduk dinasihatkan tidak kembali ke rumah masing-masing kerana bimbang risiko tanah runtuh.
Sekurang-kurangnya 479 orang maut di Sri Lanka dan ratusan lagi masih hilang.
Pihak berkuasa menganggarkan AS$7 bilion diperlukan untuk membina semula rumah, industri dan jalan raya - satu cabaran besar bagi negara yang masih dalam proses pemulihan daripada krisis ekonomi paling buruk tiga tahun lalu. -AFP