SHAANXI, 13 Julai – Pihak berkuasa di wilayah Shaanxi, barat laut China, telah mengeluarkan amaran gelombang haba susulan peningkatan suhu yang berterusan, dengan beberapa kawasan dijangka mencecah sehingga 40 darjah Celsius dalam beberapa hari akan datang.
Fenomena cuaca panas dan kering mula melanda sebahagian wilayah itu sejak Jumaat, dengan 24 daerah dan kawasan mencatatkan suhu melebihi 35 darjah Celsius pada hari pertama gelombang haba.
Pada pagi Sabtu, agensi meteorologi tempatan di ibu kota wilayah Xi'an, serta bandar Xianyang dan daerah Yangling telah menaikkan tahap amaran kepada jingga – tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran empat peringkat China – berikutan ramalan suhu yang bakal melebihi 37 darjah Celsius dalam tempoh 24 jam.
Penduduk setempat dinasihatkan agar kekal berada di dalam rumah ketika waktu puncak panas dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan strok haba.