fb fb fb fb fb

Algeria kekalkan hukuman penjara 7 tahun wartawan Perancis

Wartawan sukan Perancis, Christophe Gleizes / AFP

TIZI-OUZOU, 4 Disember - Mahkamah rayuan Algeria pada Rabu mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap wartawan sukan Perancis, Christophe Gleizes, yang dipenjarakan pada Jun lalu atas tuduhan berkaitan keganasan.

Gleizes, 36, merupakan satu-satunya wartawan Perancis yang dipenjarakan di luar negara dan penahanannya berlaku ketika hubungan diplomatik antara Paris dan Algiers tegang.

Dia ditahan pada Mei 2024 ketika menulis mengenai kelab bola sepak paling berjaya di Algeria, Jeunesse Sportive de Kabylie dan didakwa “memuliakan keganasan” serta memiliki bahan propaganda yang dianggap merugikan kepentingan negara.

Wartawan itu juga didakwa memasuki Algeria secara haram menggunakan visa pelancong untuk tujuan liputan berita. Gleizes mengaku tidak menyedari bahawa beliau pernah bertemu ketua gerakan pro-kemerdekaan Kabylie (MAK), yang disenaraikan sebagai organisasi pengganas pada 2021.

Kelompok hak media Reporters Without Borders (RSF) mengecam keputusan mahkamah dan menegaskan Gleizes hanya menjalankan tugasnya sebagai wartawan. Pihak keluarga dan peguam Gleizes berharap beliau dibebaskan, namun hakim memberi Gleizes tempoh lapan hari untuk merayu di mahkamah kasasi.

Kementerian luar Perancis mengutuk keputusan itu dan menuntut pembebasan Gleizes agar dia dapat disatukan semula dengan keluarga. Keputusan tersebut berlaku di tengah ketegangan diplomatik Algeria-Perancis yang memburuk selepas Paris menyokong kedaulatan Maghribi ke atas Sahara Barat pada Julai 2024.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE