fb fb fb fb fb

Aktiviti berkayak bertukar tragedi, kaki pelancong terpaksa dipotong tersepit celah batu 20 jam

FOTO POLIS TASMANIA

SYDNEY, 24 November- Pasukan penyelamat terpaksa memotong kaki seorang lelaki hujung minggu lalu selepas ia tersepit di celah batu ketika sedang berkayak di kawasan berbahaya di sungai Australia, menurut polis.

Pelancong asing berusia lingkungan 60-an itu sedang mengharungi jeram di Sungai Franklin, Tasmania, bersama rakannya pada Jumaat apabila kakinya tersepit di antara batu, kata pihak polis.

Lelaki itu menghubungi perkhidmatan kecemasan menggunakan jam pintarnya, mencetuskan misi penyelamatan yang rumit dan lama, namun gagal 'membebaskan' kakinya selepas 20 jam.

Sebahagiannya masih tenggelam dalam air sejuk dan dengan keadaannya semakin merosot, lelaki itu dibius sebelum kakinya dipotong pada hari Sabtu.

"Operasi ini sangat mencabar secara teknikal dan memerlukan usaha luar biasa selama berjam-jam untuk menyelamatkan nyawa lelaki itu," kata jurucakap polis, Doug Oosterloo.

"Semua usaha telah dilakukan untuk mengeluarkan lelaki itu sebelum keputusan sukar untuk memotong kakinya diambil."

Lelaki tersebut kemudian diterbangkan ke Hospital Royal Hobart, dan polis melaporkan keadaannya masih kritikal.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE