BOGO, 2 Oktober - Sekurang-kurangnya 72 mangsa terkorban manakala lebih 200 lagi cedera akibat gempa bumi kuat bermagnitud 6.9 melanda wilayah Cebu, pada Selasa.
Pejabat Pertahanan Awam Filipina memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, khususnya di bandar Bogo yang paling teruk terjejas.
Penduduk berdepan gangguan bekalan elektrik secara meluas, kemusnahan kediaman serta hospital yang tidak mampu menampung jumlah mangsa.
Ramai penduduk hilang tempat berteduh, memaksa mereka bermalam di khemah atau dalam kenderaan masing-masing.
Sejumlah rumah kediaman rosak teruk dengan struktur bertingkat runtuh.
Meskipun berisiko, ada penduduk yang masih tinggal di rumah yang rosak berikutan ketiadaan tempat perlindungan.
Akibat gempa dan risiko gegaran susulan, Hospital Wilayah Cebu di Bogo telah memindahkan pesakit ke luar bangunan untuk menerima rawatan.
Semalam, pasukan tentera digerakkan bagi membawa bantuan kecemasan ke kawasan yang terjejas, selain menghantar bantuan bekalan penting kepada komuniti
Pihak berkuasa kini sedang menilai kerosakan struktur dan memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan. - REUTERS