KAHERAH, 20 Julai – Sekurang-kurangnya 67 rakyat Palestin terbunuh ketika sedang menunggu ketibaan trak bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza Utara pada Ahad.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, ketika kejadian tentera Israel memulakan tembakan di lokasi bantuan.
Puluhan lagi cedera dalam kejadian itu melibatkan orang awam yang sedang menanti bantuan kemanusiaan.
Sehari sebelumnya, seramai 36 individu terbunuh dalam kejadian serupa, manakala enam lagi maut berhampiran lokasi bantuan di selatan Gaza.
Program Makanan Sedunia (WFP) bawah PBB memaklumkan konvoi 25 trak yang membawa bantuan makanan telah memasuki Gaza.
Ramai penduduk cuba untuk mendapatkan bantuan makanan dan bantuan lain, namun kawasan itu dihujani tembakan.
"WFP menegaskan bahawa sebarang bentuk keganasan terhadap orang awam yang sedang mendapatkan bantuan kemanusiaan adalah sama sekali tidak dapat diterima," menurut kenyataan itu.
Ketika ini angka kematian terus meningkat susulan serangan dari Israel dan krisis kebuluran semakin memburuk di Gaza.
Serangan yang sengaja dicipta rejim Zionis dilihat sebagai alat untuk melambatkan proses gencatan senjata di Gaza.
Secara keseluruhan, pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan sebanyak 90 kematian akibat serangan udara dan tembakan tentera Israel di seluruh wilayah pada Ahad. – REUTERS