LAGOS, 15 September- Sekurang-kurangnya 64 orang dikhuatiri maut berikutan kemalangan bot di sebatang sungai di negeri Zamfara, barat laut Nigeria, kata pegawai tempatan.
Sebuah bot kayu yang membawa 70 petani terbalik ketika mengangkut mereka menyeberangi sungai untuk sampai ke tanah ladang mereka berhampiran pekan Gummi pada pagi Sabtu.
Pihak berkuasa tempatan dengan pantas menggerakkan penduduk untuk operasi menyelamat, dan selepas tiga jam, enam mangsa yang terselamat ditarik keluar.
Pentadbir tempatan, Aminu Nuhu Falale yang mengetuai usaha menyelamat berkata ini adalah kali kedua kejadian seumpama itu berlaku di kawasan kerajaan tempatan Gummi.
Beliau menambah bahawa pasukan penyelamat sedang mempergiatkan pencarian mereka dengan harapan mencari lebih ramai mangsa yang terselamat.
Lebih 900 petani menyeberangi sungai setiap hari untuk mengakses tanah ladang mereka, tetapi hanya dua bot yang tersedia yang sering menyebabkan kesesakan, kata pemerintah tradisional tempatan.
Zamfara, yang sudah dibelenggu oleh kumpulan penjenayah yang mencari kawalan sumber mineral, juga terjejas teruk akibat banjir.
Dua minggu lalu, banjir menyebabkan lebih 10,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, kata pegawai tempatan.- REUTERS