KANDAHAR, 6 Disember - Empat orang awam dan seorang anggota tentera dilaporkan maut dalam insiden berbalas tembakan dan bedilan meriam di pintu sempadan Chaman–Spin Boldak awal pagi Sabtu, sekali gus menandakan ketegangan baharu antara Afghanistan dan Pakistan walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa sejak Oktober.
Menurut jurucakap kerajaan Afghanistan, Hamdullah Fitrat, lima lagi orang awam turut cedera, manakala hospital di Bandar Chaman, Pakistan, mengesahkan tiga mangsa mengalami kecederaan ringan.
Kedua-dua pihak saling menuduh satu sama lain memulakan serangan tanpa provokasi.
“Malangnya malam ini, pihak Pakistan mula menyerang Afghanistan di daerah Spin Boldak, Kandahar, dan pasukan Emiriah Islam terpaksa membalas,” kata jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid di platform X, lewat Jumaat.
Pakistan pula mendakwa Afghanistan melepaskan tembakan dahulu.
“Sebentar tadi, rejim Taliban Afghanistan melakukan tembakan tanpa provokasi di sepanjang sempadan,” kata jurucakap Perdana Menteri Pakistan, Mosharraf Zaidi, di X.
Dalam pada itu Ketua Jabatan Penerangan Kandahar, Ali Mohammed Haqmal, berkata pasukan Pakistan menggunakan “artileri ringan dan berat” dan tembakan mortar telah mengenai rumah-rumah penduduk.
Kedua-dua negara terus berdepan hubungan tegang sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021, khususnya berkaitan isu keselamatan dan dakwaan Pakistan bahawa Afghanistan melindungi kumpulan militan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) dakwaan yang dinafikan Kabul.
Lebih 70 orang maut dalam pertempuran sebelum ini pada Oktober sebelum gencatan senjata usaha Qatar dan Turkiye.