fb fb fb fb fb

30 orang terbunuh, protes kenaikan cukai di Kenya

Foto AFP

NAIROBI, 29 Jun- Sekurang-kurangnya 30 orang maut di Kenya pada minggu ini semasa protes yang menentang cadangan pengenalan cukai baharu di negara itu.

Human Rights Watch (HRW) menerusi kenyataan berkata pasukan keselamatan Kenya menembak terus ke arah kumpulan penunjuk perasaan pada selasa lalu, termasuk penunjuk perasaan yang melarikan diri.

“Walaupun tiada pengesahan tentang jumlah sebenar orang yang terbunuh di Nairobi dan bandar-bandar lain, Human Rights Watch mendapati sekurang-kurangnya 30 orang telah terbunuh pada hari itu berdasarkan maklumat saksi, maklumat yang tersedia secara umum, rekod hospital dan bilik mayat di Nairobi", kata kenyataan itu.

Pengarah Afrika Bersekutu HRW Otsieno Namwaya berkata tindakan menembak ke arah orang ramai tanpa alasan, termasuk ketika penunjuk perasaan cuba melarikan diri, adalah tidak boleh diterima di bawah undang-undang Kenya dan antarabangsa.

"Pihak berkuasa Kenya perlu menjelaskan kepada pasukan mereka bahawa mereka harus melindungi penunjuk perasaan yang aman dan keganasan polis tidak boleh diterima lagi," tambah Namwaya.

Perhimpunan aman bertukar ganas pada Selasa lalu, selepas penggubal undang-undang meluluskan kenaikan cukai, susulan tekanan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Kemarahan yang meluas harus menjadi peringatan kepada kerajaan Kenya dan IMF bahawa mereka tidak boleh mengorbankan hak atas nama pemulihan ekonomi," kata Namwaya.

IMF yang berpangkalan di Washington telah menggesa negara itu untuk melaksanakan pembaharuan fiskal untuk mengakses pembiayaan penting daripada pemberi pinjaman antarabangsa itu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN