fb fb fb fb fb

30 orang maut dalam serangan kumpulan kongsi gelap di Haiti

(Penduduk di daerah Carrefour Feuilles melarikan diri ketika kumpulan kongsi gelap mengganas di daerah tersebut/AFP)

PORT -AU-PRINCE, 18 ogos- Seramai 30 penduduk terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam keganasan kumpulan kongsi gelap di ibu kota Haiti, Port-au-Prince.

Dalam serangan tersebut, rumah-rumah di kejiranan Carrefour-Feuilles di bandar itu dibakar dan dua orang pegawai polis turut terkorban.

Kawasan itu merupakan lokasi strategik kumpulan kongsi gelap, yang menguasai kira-kira 80 % ibu kota Haiti.

Jenayah keganasan termasuk kes penculikan untuk mendapatkan wang tebusan, rompakan kereta, rogol dan kecurian bersenjata adalah perkara biasa di lokasi tersebut.


(Foto fail REUTERS)

Seorang penduduk, Dominique Charles, memberitahu AFP dia kehilangan seramai enam ahli keluarga termasuk ibunya.

"Penyerang menyerang rumah kami dengan bom molotov. Saya dapat melarikan diri, tetapi ahli keluarga yang lain tidak bernasib baik," katanya.

Menurut pihak berkuasa dalam beberapa hari kebelakangan ini, keganasan di kawasan kejiranan telah menyebabkan kira-kira 5,000 penduduk melarikan diri.

Walaupun sebahagian daripada pelarian telah mendapat perlindungan di sekolah atau pusat sukan tempatan, terdapat individu yang terperangkap di jalanan.

Pihak berkuasa berkata mereka telah mula mengagihkan makanan dan air kepada mangsa yang terselamat.

Haiti sedang berhadapan dengan krisis kemanusiaan, politik dan keselamatan.-AFP

Media Baharu